Di alam liar arowana berpasangan berdasarkan pilihan semulajadi. Mereka memperuntukkan tempoh berdua-duaan selama berminggu-minggu hingga berbulan-bulan. Apabila kedua-duanya telah bersedia, arowana betina mulai bertelur di dasar sungai berarus tenang, manakala arowana jantan serta-merta akan mengeluarkan spermanya bagi mensenyawakan kesemua telur-telur arowana betina. Telur-telur yang telah disenyawakan, kemudiannya akan disodok oleh arowana jantan dan seterusnya akan menetas di dalam mulut dalam tempoh 2 bulan. Buat pertamakalinya untuk sementara waktu, anak-anak arowana mulai keluar dari mulut bapanya secara beransur-ansur. Bapa arowana akan berisyarat kepada anak-anaknya jika terdapat sebarang petanda bahaya, jesteru anak-anak arowana akan kembali semula ke dalam mulut sebagai perlindungan. Anak-anak arowana pasti meninggalkan bapanya apabila telah berupaya berenang bebas.
Di Alam Pembiakan
Arowana lazimnya dibiakkan di dalam kolam bumi (earthpond). Membiakkan arowana di dalam tangki juga boleh dilaksanakan, tetapi prosesnya agak sukar. Di kolam pembiakan bumi, 10 ekor arowana matang (separuh jantan dan separuh betina) akan dilepaskan dan kaedah ini melangsungkan pemilihan pasangan secara semulajadi. Arowana-arowana seterusnya diawasi dengan teliti dari jarak yang dapat dilihat. Apabila sepasangan arowana telah terbentuk, pasangan itu akan mengusir arowana-arowana lain dan mulai bertelur. Jaring kemudiannya akan ditempatkan bagi memisahkan pasangan itu daripada yang lain. Setelah anak-anak arowana berupaya berenang bebas, mereka akan ditangkap dan ditempatkan ke dalam tangki pembesaran.
Kebanyakan pemelihara ikan akuarium tidak memiliki kolam bumi di rumah. Oleh sebab itu, saya akan lebih menumpukan pembiakan arowana Asia di dalam tangki di seksyen seterusnya.
Jantina Arowana Asia
Adalah sukar untuk menentukan jantina arowana. Lebih-lebih lagi, arowana-arowana yang masih muda. Umumnya, warna sesisik arowana jantan dewasa tampak lebih garang manakala saiz tubuhnya sedikit kecil berbanding arowana betina dewasa. Arowana jantan juga memiliki rahang yang lebih lebar dan lebih dalam bagi memudahkan mereka membawa telur-telur dan anak-anak arowana kelak. Arowana betina dewasa pada perbandingannya bertubuh agak besar, manakala pada sektor pelepah antara sirip dorsal, ekor dan sirip anal kelihatan agak kebulatan. Pengalaman luas amat diperlukan dalam mengenalpasti jantina arowana Asia. Usah diperdulikan dahulu arowana-arowana Asia yang masih muda. Sungguhpun demikian, apabila mereka mulai membiak, sudah pasti anda akan dapat memastikan yang mana jantan dan yang mana betina. Inilah yang dikatakan pengalaman.
Tempoh yang diperlukan arowana Asia untuk matang adalah bergantung kepada keadaan mereka dipelihara. Lebih khusus dalam keperluan dan penjagaannya, akan lebih cepat mereka mencapai kematangan. Umumnya, arowana Asia betina mengambil tempoh selama 2-3 tahun, manakala arowana jantan pula 4-5 tahun bagi mencapai kematangan.
Mencampurkan Arowana-Arowana Asia
Arowana-arowana Asia adalah spesis ikan air tawar yang bersifat kewilayahan. Mereka tidak akan dapat dielak daripada menyerang antara satu sama lain jika dipelihara 2 ekor sekaligus. Walaubagaimanapun, sifat suka menyerang ini akan berkurangan, jika bilangannya ditambah. Secara lazimnya, anda perlukan sekurang-kurangnya 6 ekor arowana Asia matang jika berhajat untuk memeliharanya bersama-sama. Perkara ini mungkin menjadi mustahil, memandangkan harga arowana Asia yang tinggi di pasaran kini. Sekiranya modal adalah masalah utama, anda tentu ingin menggantikan satu atau dua ekor dengan arowana Perak (Silver - Osteoglossum bicirrhosum) atau arowana Hitam (Black - Osteoglossum ferreirai), tetapi cara ini pasti menipiskan peluang anda untuk mendapatkan pasangan arowana Asia yang sepadan. Perlu diingatkan, anda juga perlukan tangki yang cukup besar bagi menampung 6 ekor arowana sekaligus. Lebih besar saiz sesebuah tangki itu, adalah lebih baik. Saiz bagi tangki minima adalah berukuran 8'x 2'x 2' dengan ketebalan kaca 12mm, tetapi ini bukanlah saiznya yang ideal.
Memadan & Membiakkan Arowana Asia
Terdapat dua cara untuk anda membiakkan arowana-arowana anda. Pertama, adalah dengan mencampurkan beberapa ekor arowana ke dalam tangki dan biarkan mereka memilih pasangan mereka sendiri. Kedua, dengan memadankan sendiri 2 ekor arowana yang anda fikirkan berlawanan jantinanya serta berharap pilihan anda itu tepat dan mereka menyukai antara satu sama lain.
Kaedah Semulajadi:
Anda harus memiliki simpanan baka yang munasabah untuk berjaya melaksanakannya. Sekurang-kurangnya, 6 ekor arowana matang diperlukan bagi proses ini dijayakan. Besarkan mereka bersama-sama di dalam tangki sejak daripada kecil lagi. Ataupun, kesemua arowana matang dilepaskan ke dalam tangki secara serentak. Dengan cara ini, tidak seekorpun akan dapat menguasai atau membentuk wilayah lebih awal sesama mereka.
Awasi mereka dengan teliti. Jika sepasangan arowana terbentuk, arowana jantan akan berenang berdekatan dengan arowana betina dan mulai mengusir arowana-arowana lain. Pasangan itu cuba meluaskan wilayah mereka. Anda perlulah memindahkan arowana-arowana lain daripada tangki di peringkat ini.
Berdua-duaan
Kelakuan berdua-duaan mengambil tempoh selama 1 hingga 2 bulan. Sepanjang tempoh ini, mereka akan berenang-renang berdekatan antara satu sama lain (sering berenang dalam bentuk bulatan), berkejar-kejaran, menggigit ekor dan sesirip sesama sendiri serta sering menyebabkan kecederaan pada tubuh juga. Arowana betina lazimnya menerima kecederaan yang berpanjangan, terutama sekali pada sektor lapisan luar insang, sirip anal dan sektor kelamin. Dipercayai di peringkat ini, arowana jantan cuba merangsang rembesan arowana betina.
Lokasi bertelur
Selera makan mereka juga akan turut menurun sedikit demi sedikit. Perut arowana betina mulai mengembung dan dipenuhi telur-telur. Mereka akan memilih lokasi yang sesuai bagi melepaskan telur-telur, lazimnya di kawasan kurang gangguan dan berarus tenang. Adalah wajar sekiranya tangki ini dilindung (terutama sekali di bahagian tempat bertelur) bagi mengelakkan kerencatan untuk bertelur, jika pasangan tersebut ketakutan.
Bertelur
Mereka seterusnya akan berenang seiringan dan bergeser-geseran tubuh antara satu sama lain. Namun sekali sekala, mereka akan diam di satu-satu tempat. Setelah hampir ke penghujungnya, pasangan ini akan menghentikan renangan lalu meneruskan aksi bergeser-geseran tubuh. Dengan kekejangan otot secara tiba-tiba, arowana betina melepaskan telur-telurnya dan serentak dengan itu pula, arowana jantan mengeluarkan spermanya bagi menyuburkan telur-telur tersebut. Proses bertelur biasanya berlaku pada tengahari, manakala bilangan telur yang dilepaskan adalah dalam lingkungan 30-80 biji dan bergaris pusat sekitar 12-15mm. Arowana jantan seterusnya akan menyodok telur-telur seberapa banyak yang mungkin dan memeliharanya sehingga ke suatu tempoh. Manakala telur-telur yang tertinggal, akan dimakan oleh arowana betina bagi mendapatkan semula zat.
Penetasan
Sepanjang tempoh untuk menetas, arowana betina akan mengusir arowana jantan dan dipercayai, mengusir keluar daripada lokasi bertelur untuk mencari lokasi baru bagi membesarkan anak-anak arowana. Pengusiran ini boleh menyebabkan keganasan dan arowana jantan dikhuatiri akan tertelan beberapa biji telur tanpa ia sedari. Jesteru, adalah wajar sekiranya arowana betina dipindahkan dari tangki di peringkat ini.
Dengan suhu antara 26-30° Selsius (79-86° Fahrenheit), kantung telur yang meloyot kekuningan di bahagian luar perut anak-anak arowana akan mula terserap sepenuhnya dalam tempoh 60 hari. Buat pertamakalinya kelak, anak-anak arowana akan beransur-ansur keluar dari mulut bapanya untuk sementara waktu waktu. Di peringkat ini, anda bolehlah memberi makan anak-anak arowana dengan cacing merah (bloodworm) atau anak-anak ikan gapi (baby guppies). Sila lihat Makanan Arowana
Anak-anak arowana boleh dipindahkan daripada tangki induk mereka, jika mereka dapat menerima makanan yang diberi setelah beberapa hari kemudian. Pastikan air tangki baru diisi separuh daripada air tangki induk mereka, manakala suhu dan komposisinya harus sama dengan tangki induk mereka bagi mengelakkan kekejutan dan kematian.
Kaedah Pemadanan:
Anda perlu mengetahui seyakin-yakinnya, bahawa anda memiliki 2 ekor arowana matang yang berlainan jantinanya, kerana membiakkan arowana bukanlah satu tugas yang mudah. Kaedah seterusnya hanya boleh dicuba oleh mereka yang berpengalaman lebih dari 5 tahun dalam memelihara arowana Asia sahaja.
Tentukan status pemakanan mereka dengan makanan-makanan segar/hidup yang berkhasiat. Lepaskan 2 ekor arowana tersebut ke dalam tangki pembiakan (tangki berukuran 5'x 2'x 2') dengan pembahagi lutsinar ditempatkan di antara mereka. Biarkan mereka membiasakan diri dengan kehadiran antara satu sama lain untuk tempoh beberapa minggu di samping terus-menerus dalam menentukan status gizi yang seimbang buat mereka.
Selepas beberapa minggu, cuba keluarkan pembahagi tadi. Mereka lazimnya lebih ganas berbanding pasangan yang terbentuk secara pilihan semulajadi. Kecederaan demi kecederaan tidak akan dapat dielakkan. Sekiranya mereka menjadi semakin ganas, anda perlulah mengasingkan mereka semula. Kemungkinan tanggapan anda meleset dengan menyangkakan bahawa jantina mereka adalah berlawanan. Antara kemungkinan lain, mereka sebenarnya belum cukup matang untuk dibiakkan. Jika anda berjaya mendapatkan pasangan arowana yang ideal, pasangan tersebut akan mempamirkan kelakuan berdua-duaan sepertimana yang diterangkan sebelum ini. Bertelur dan membesarkan anak-anak arowana, sama seperti pasangan yang terbentuk secara semulajadi.